JOHOR BERI INSENTIF eWALLET UNTUK PENGUNJUNG BAZAR RAMADAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni Bangsa Johor di Bazar Ramadan Taman Dahlia, Johor Bahru. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Bangsa Johor kini berpeluang untuk menikmati insentif eWallet Touch ‘n Go bernilai RM20 yang disediakan oleh Kerajaan Johor sebagai galakan untuk berbelanja tanpa menggunakan wang tunai fizikal di lapan lokasi bazar Ramadan terpilih di seluruh negeri ini.

 

Inisiatif berkenaan yang julung kali diadakan bakal memberi peluang kepada 1,000 pengunjung pertama di setiap lokasi bazar Ramadan terpilih yang dilihat dapat memberi manfaat buat 48,000 penerima di daerah Johor Bahru, Muar, Kluang, Segamat, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Pontian bagi memudahkan urusan jual beli.

 

Ia juga adalah antara usaha Kerajaan Johor dalam memperkukuh ekonomi digital yang secara tidak langsung mampu menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta membantu usahawan kecil menjana pendapatan dan pada masa sama dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan transaksi tanpa tunai.

 

Selain itu, bazar Ramadan terlibat juga turut dipilih menjadi sebahagian daripada Program Bazar Ramadan Rahmah yang dianjurkan di seluruh negara bertujuan menyediakan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan serta memastikan suasana perniagaan yang lebih tersusun.

 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerusi 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah meluluskan 200 lokasi bazar Ramadan melibatkan 11,202 petak seluruh negeri, manakala 28 bazar Aidilfitri dengan 1,555 petak juga disediakan sempena musim perayaan.

 

#BazarRamadan
#BazarAidilfitri
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor