JOHOR CADANG DUTA SUKAN BAGI BOLA KERANJANG

Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan MABA-MATRIX Bawah 17 Tahun Kali ke-59 di Stadium Bola Keranjang Larkin, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Negeri bakal meneliti cadangan untuk menambah Duta Sukan Johor bagi bola keranjang dalam usaha mengangkat sukan berkenaan ke tahap lebih tinggi, sebelum akan disembah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Bagi tujuan tersebut, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) berhasrat untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi mempertimbangkan nama-nama besar termasuk bekas pemain legenda yang berpotensi dijadikan sebagai Duta Sukan Johor.
Usaha berkenaan adalah selari dengan perancangan untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dan menyuntik inspirasi kepada pemain bola keranjang negeri agar lebih berdaya saing selain sebagai langkah strategik menjadikan Johor sebagai hab bola keranjang negara.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YBhg. Dato’ Seri Lee Tian Hock, Presiden MABA hadir merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan MABA-MATRIX Bawah 17 Tahun Kali ke-59 di Stadium Bola Keranjang Larkin, Johor Bahru, malam semalam.
Kejohanan bermula 30 Mei itu menyaksikan Johor selaku tuan rumah menerima penyertaan 63 pasukan dari seluruh negara dalam dua kategori iaitu 3×3 dan 5×5. Bagi kategori 3×3 yang berakhir hari ini, pasukan lelaki Johor muncul juara menewaskan Perak, manakala pasukan wanita Johor pula meraih naib johan selepas tewas kepada Selangor.
Kategori 5×5 pula masih berlangsung dan dijangka berakhir pada 9 Jun ini dengan harapan disandarkan kepada Johor untuk terus mengekalkan rekod kejuaraan yang dimenangi pasukan pada edisi tahun lepas.
#DutaSukanJohor
#BolaKeranjang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor