JOHOR DOMINASI SEKTOR PERTANIAN NEGARA, RAIH PENDAPATAN RM30.15 BILION

Johor terus menerajui sektor pertanian negara dengan merekodkan pendapatan tertinggi sebanyak RM30.15 bilion berdasarkan Laporan Banci Pertanian 2024. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Negeri Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor pertanian negara apabila merekodkan jumlah pendapatan tertinggi yang mencecah RM30.15 bilion, berdasarkan Laporan Banci Pertanian 2024 Negeri Johor.
Pencapaian ini mencerminkan kekuatan sektor pertanian negeri yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi, tetapi juga berperanan penting dalam menjamin keterjaminan makanan serta kesejahteraan Bangsa Johor.
Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini turut merangkumi data komprehensif melibatkan pendapatan, perbelanjaan, gaji dan upah, selain aspek pegangan pertanian, keluasan, pengeluaran dan hasil nilai jualan bagi tahun rujukan 2023.
Secara keseluruhan, Johor merekodkan 106,003 pegangan pertanian dengan majoritinya diusahakan secara individu, di samping mencatatkan kedudukan tertinggi bagi pegangan pertanian oleh pertubuhan di Malaysia.
Keluasan bertanam pula mencecah lebih 837,000 hektar dengan tanaman kelapa sawit mendominasi, diikuti buah-buahan dan getah sebagai antara penyumbang utama hasil pertanian negeri.
Prestasi ini diterjemahkan melalui nilai jualan sektor pertanian Johor sebanyak RM27.52 bilion, bersamaan 16.9 peratus daripada keseluruhan nilai jualan pertanian Malaysia.
Dari perspektif daerah, Kluang muncul sebagai penyumbang tertinggi pendapatan sektor pertanian dengan RM5.46 bilion, diikuti Kota Tinggi dan Batu Pahat, sekali gus memperlihatkan kekuatan ekonomi luar bandar di negeri ini.
Pada masa sama, sektor ini menjana 210,575 peluang pekerjaan dengan purata gaji tahunan RM21,315 sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu ekonomi dan kesejahteraan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


