255 MANGSA RIBUT KG MELAYU MAJIDEE TERIMA BANTUAN AWAL


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah menerima bantuan bakul makanan untuk diedarkan dari Southern Volunteers (SV) dan Pejabat Parlimen Johor Bahru. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyalurkan bantuan kepada 255 mangsa kejadian ribut yang melanda Kampung Melayu Majidee, dekat Johor Bahru, minggu lalu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah berkata, bantuan wang tunai tersebut disumbangkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor, Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

 

“Alhamdulillah dalam tempoh kurang 10 hari, semua 255 mangsa yang terkesan dengan ribut telah menerima bantuan awal wang tunai sebanyak RM3,000.

 

“Bantuan awal ini juga diberikan kepada semua mangsa terjejas tanpa mengira kategori kerosakan kediaman mereka, sama ada tahap sedikit, sederhana atau teruk,” katanya di laman Facebook.

 

Mohd Hairi berkata, mangsa turut menerima bantuan bakul makanan dari Southern Volunteers (SV) dan Pejabat Parlimen Johor Bahru.

 

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Johor berharap bantuan tunai itu dapat digunakan sebaiknya bagi membaiki kerosakan.

 

“Diharapkan bantuan tunai awal ini dapat digunakan mangsa-mangsa dengan sebaiknya khususnya bagi membaiki kerosakan rumah.

 

“Malah, saya juga akan memantau serta meminta bantuan agensi berkaitan bagi kerja pembaikan seterusnya apabila selesai proses penilaian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor