JOHOR GERGASI PUSAT DATA SERANTAU

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Pecah Tanah STT Johor 1 di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Pembinaan kampus pusat data oleh ST Telemedia (STT) Global Data Centres, penyedia perkhidmatan pusat data dan infrastruktur teknologi maklumat (IT) global bakal melonjak kedudukan Johor sebagai gergasi pusat data terbesar di rantau ini.
Dikenali STT Johor 1, kampus pusat data berkapasiti 120 megawatt (MW) yang turut menyediakan akses telekomunikasi kritikal itu akan dibina di atas tanah seluas lebih 22 ekar dekat Taman Perindustrian Nusa Cemerlang dan siap menjelang hujung tahun hadapan.
Kewujudan STT Johor 1 menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri memperkasa infrastruktur ekonomi digital dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta keyakinan pemain industri terhadap dasar pelaburan, lokasi strategik dan kos operasi lebih rendah.
Selain itu, rangka kerja dan dasar berkaitan kelestarian oleh Kerajaan Negeri berpotensi merangsang pembangunan dan pertumbuhan pelaburan sekali gus membawa manfaat daripada limpahan permintaan pasaran utama ke atas pusat digital baharu.
Pembangunan industri pusat data di negeri ini juga dipantau oleh Jawatankuasa Penyelerasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor yang berperanan memastikan pembangunan projek memberi fokus kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjimatkan elektrik dan penggunaan air.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Pecah Tanah STT Johor 1 di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang. Hadir sama YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
#PusatDataJohor
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor