JOHOR GESA PENGISIAN SEGERA PETUGAS KESIHATAN HOSPITAL PASIR GUDANG

Kerajaan Johor menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan pengisian baki 1,192 jawatan di Hospital Pasir Gudang bagi membolehkan hospital itu beroperasi sepenuhnya demi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat. | Foto MEDKOM
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan proses pengisian petugas kesihatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) bagi membolehkan hospital itu beroperasi sepenuhnya demi memenuhi keperluan rakyat khususnya di sekitar kawasan berkenaan.
Usaha itu selaras dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar sektor kesihatan negeri terus diperkukuh bagi menjamin kesejahteraan Bangsa Johor di seluruh negeri ini.
Walaupun dilengkapi kemudahan moden, kapasiti besar serta pelbagai bidang kepakaran, namun HPG masih belum dapat beroperasi pada kapasiti maksimum berikutan kekurangan tenaga kerja di hospital awam berkenaan.
Daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan, hanya 1,079 jawatan telah diisi, manakala 1,192 jawatan lagi masih kosong. Ia melibatkan kekosongan penjawatan berkaitan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain.
Hospital itu menawarkan pelbagai kepakaran termasuk Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Radiologi, Patologi, Ortopedik, Otorinolaringologi serta Oftalmologi yang berpotensi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor.
Pengoperasian sepenuhnya HPG juga diyakini mampu mengurangkan beban pesakit di hospital sedia ada, khususnya Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), selain memenuhi permintaan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya.
Justeru, Kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi memastikan segala keperluan HPG dapat dipenuhi, termasuk mempercepatkan pengisian jawatan agar hospital itu dapat beroperasi sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor meninjau perkembangan pengoperasian hospital berkenaan serta mendengar taklimat mengenai status semasa dan cabaran yang dihadapi dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#HospitalPasirGudang
#AgendaKesihatan
#JohorSihat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


