JOHOR KEKAL ANTARA PENGEKSPORT UTAMA NEGARA


Johor terus menjadi antara lima negeri pengeksport utama menyumbang kepada jumlah eksport negara pada Mac 2023 | Gambar hiasan.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor terus menjadi antara lima negeri pengeksport utama menyumbang kepada jumlah eksport negara, bulan lalu.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Pulau Pinang merekodkan sumbangan 31.9 peratus diikuti Johor (19.9 peratus), Selangor (18.4 peratus), Sarawak (8.2 peratus) dan Kuala Lumpur (3.5 peratus).

 

“Pulau Pinang, Johor dan Selangor kekal sebagai pengeksport utama menyumbang sebanyak 70.2 peratus daripada jumlah eksport negara pada Mac 2023.

 

“Jumlah dagangan Malaysia pada bulan Mac 2023 bernilai RM232.7 bilion (-1.6 peratus tahun ke tahun) dengan nilai eskport RM129.7 bilion (-1.4 peratus tahun ke tahun) dan import bernilai RM103.0 bilion (-1.8 peratus tahun ke tahun),” katanya dalam siaran Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Bagi Bulan Mac 2023, Jumaat lalu.

 

Mohd Uzir berkata, eksport pada Mac 2023 menurun sebanyak RM1.85 bilion (-1.4 peratus) berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurutnya, penurunan eksport dipengaruhi eksport yang lebih rendah oleh kebanyakan negeri iaitu Kuala Lumpur (-RM775.6 juta), Kedah (-RM730.3 juta), Sabah (-RM651.7 juta), Pahang (-RM637.9 juta), Terengganu (-RM405.1 juta), Perak (-RM366.0 juta), Johor (-RM242.9 juta) dan Kelantan (-RM71.0 juta).

 

“Bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Sarawak sebanyak RM740.6 juta, Negeri Sembilan (+RM369.3 juta), Labuan (+RM293.6 juta), Pulau Pinang (+RM279.6 juta), Melaka (+RM165.7 juta), Selangor (+RM37.8 juta) dan Perlis (+RM6.2 juta),” katanya.

 

Beliau berkata, bagi import pula, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 25.6 peratus diikuti Johor (23.4 peratus), Pulau Pinang (22.2 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.2 peratus).

 

Ujarnya, import pada bulan Mac 2023 juga menurun RM1.90 billion (-1.8 peratus) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Penurunan disebabkan import lebih rendah oleh kebanyakan negeri iaitu Melaka (-RM4.1 bilion), Negeri Sembilan (-RM877.6 juta), Pulau Pinang (-RM701.5 juta), Kedah (-RM559.7 juta), Pahang (-RM450.3 juta), Selangor (-RM72.1 juta), Labuan (-RM18.9 juta) dan Sabah (-RM16.7 juta).

 

“Bagaimanapun, nilai import meningkat di Johor sebanyak RM3.8 bilion, Kuala Lumpur (+RM619.8 juta), Sarawak (+RM262.4 juta), Terengganu (+RM192.0 juta), Perlis (+RM52.0 juta), Kelantan (+RM26.7 juta) dan Perak (+RM1.1 juta),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor