PASANGAN WARGA EMAS YANG TULAR TERIMA BANTUAN BULANAN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan, pasangan Shuib Alna, 69, dan isteri, Sarimah Shaari, 61, bersetuju untuk segera berpindah ke rumah sewa disediakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). | Foto Ihsan: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengambil inisiatif bagi memindahkan pasangan warga emas yang tular tinggal di pondok usang di tepi Sungai Masai dekat Pasir Gudang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan, pasangan Shuib Alna, 69, dan isteri, Sarimah Shaari, 61, bersetuju untuk segera berpindah ke rumah sewa disediakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

 

”Kita nak pastikan keselamatan pakcik Shuib dan keluarga terjamin dengan mereka dipindahkan ke rumah sewa yang kita telah sediakan.

 

”Kita juga sedang mengusahakan untuk memanjangkan permohonan rakyat termiskin di PPRT Taman Cendana, Pasir Gudang,” kongsi beliau di Facebook rasminya, Jumaat lalu.

 

Mohd Fared turut memberitahu pondok tepi sungai Masai didiami oleh pasangan warga emas tersebut akan dibersihkan oleh Pejabat Daerah Johor Bahru dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail turut meninjau keadaan pasangan terbabit bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

 

“Saya difahamkan bahawa pasangan tersebut menerima sumbangan dari JKM sebanyak RM500 dan akan menerima sumbangan dari MAINJ sebanyak RM200.

 

“Pasangan tersebut juga sebenarnya mempunyai rumah dan masih menetap di kawasan perumahan berdekatan dan bukan seperti yang dinyatakan wartawan berita tempoh hari,” katanya.

 

Beliau juga berharap penyebaran sesuatu berita dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkaitan bagi mengelakkan berlakunya salah faham maklumat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor