JOHOR MULA LAKSANA SEMARAK MAGHRIB DAN ISYAK DI SELURUH NEGERI

Pelancaran Program Semarak Maghrib dan Isyak di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana menjadi simbolik permulaan pelaksanaan program berkenaan di seluruh negeri ini. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memulakan pelaksanaan Program Semarak Maghrib dan Isyak di seluruh negeri ini sebagai usaha berterusan bagi mengimarahkan masjid serta menyemarakkan amalan solat berjemaah dalam kalangan umat Islam.
Inisiatif berkenaan adalah antara komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa syiar Islam menerusi pengimarahan masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan pembangunan sahsiah masyarakat.
Program sulung program ini diadakan di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana sebagai kesinambungan usaha menyemarakkan solat berjemaah di Johor selepas pelaksanaan pelbagai inisiatif menggalakkan solat Subuh berjemaah, sebelum ini.
Menerusi program itu, masjid bukan sahaja diimarahkan dengan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, malah ia juga turut diperkasakan sebagai medan penyampaian ilmu serta pengisian kerohanian kepada masyarakat.
Antara pengisian yang diadakan ialah Perkongsian Hadis 40 bertajuk ‘Niat Penentu Perbuatan Hamba’ yang disampaikan oleh As-Syeikh Tuan Haji Mohd Zaini Mohd Salleh, Kadi Daerah Johor Bahru, selain bacaan Surah Al-Mulk bersama para jemaah.
Program berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Johor bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam memakmurkan rumah Allah SWT, sekali gus memperkukuh amalan solat berjemaah serta ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan usaha Kerajaan Johor untuk terus meningkatkan syiar Islam dan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak serta berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menghadiri pelancaran Program Semarak Maghrib dan Isyak di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana sebagai simbolik permulaan pelaksanaan program berkenaan di seluruh negeri ini.
#JohorSafeZone
#SemarakMaghrib
#SemarakIsyak
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


