JOHOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN KEPIMPINAN DEMI AGENDA INOVASI DIGITAL NEGERI

Penyertaan barisan ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dalam kursus eksekutif bertaraf antarabangsa bertajuk “Leading the AI-Driven Organization” di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus mempersiap kepimpinan negeri dalam menerajui Agenda Inovasi Digital Johor, selaras dengan iltizam dan visi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Usaha itu diterjemahkan menerusi penyertaan barisan ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dalam kursus eksekutif bertaraf antarabangsa bertajuk ‘Leading the AI-Driven Organization’ di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat.

 

Kursus yang berlangsung dari 2 hingga 6 Februari itu dianjurkan oleh Permodalan Darul Takzim (PDT) dengan kerjasama strategik MIT dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), selari dengan agenda Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh keupayaan kepimpinan bagi menerajui serta mengurus inisiatif kecerdasan buatan (AI).

 

Langkah ini juga selaras dengan penubuhan Majlis Digital Johor sebagai pemacu utama ekosistem digital negeri khususnya bagi mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi kepada rakyat.

 

Fokus utama kursus berkenaan tertumpu kepada peranan pemimpin dalam membentuk organisasi yang bersedia menghadapi perubahan teknologi secara strategik, beretika dan mampan, termasuk integrasi keupayaan manusia dan teknologi digital.

 

Penekanan turut diberikan terhadap penggunaan data dan teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepat proses pembuatan keputusan dengan lebih tepat dan berkesan yang diyakini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong agenda transformasi digital Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri hadir mengikuti kursus eksekutif bertaraf antarabangsa di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#AgendaDigitalJohor
#JTDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor