JOHOR PERKUKUH LANGKAH JAMIN BEKALAN AIR SUSULAN CUACA PANAS

Selain itu, ketinggian pintu air di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam turut dinaikkan bagi membantu mengekalkan paras air di saluran pengambilan air ke LRA berkenaan. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperkukuh langkah bagi memastikan kestabilan bekalan air kepada rakyat tidak terjejas susulan cuaca panas berterusan yang menyebabkan penyusutan paras Empangan Machap sejak awal Ogos lalu.
Antara langkah yang telah, sedang dan akan dilaksanakan ialah Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 21 hingga 24 September 2026 di kawasan sasaran, termasuk sekitar Empangan Machap.
Bagi tujuan sama, Kerajaan Negeri turut mengaktifkan sistem pemindahan air mentah ke Ulu Sungai Benut melalui pontun dari Kolam Yong dan Empangan Machap dengan tambahan aliran keseluruhan sebanyak 25 hingga 30 juta liter sehari.
Selain itu, ketinggian pintu air di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam turut dinaikkan bagi membantu mengekalkan paras air di saluran pengambilan air ke LRA berkenaan.
Setakat ini, bekalan air masih terkawal dengan paras saluran pengambilan air LRA Simpang Renggam kekal pada tahap normal, manakala berdasarkan unjuran semasa dan langkah yang dilaksanakan, bekalan dijangka dapat dikekalkan sehingga awal November, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras sumber air semasa.
Pemantauan rapi akan terus dilaksanakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan keadaan sumber air sentiasa terkawal serta bekalan kepada rakyat kekal stabil.
Kerajaan Johor memahami kebimbangan rakyat dan akan terus mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan keperluan bekalan air terus diberi keutamaan, di samping menyeru orang ramai supaya menjaga kesihatan ketika berdepan cuaca panas dan keadaan berjerebu.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, turun ke Empangan Machap bagi meninjau keadaan terkini sumber air mentah serta langkah yang dilaksanakan bagi memastikan kestabilan bekalan air kepada rakyat terus terpelihara.
#JohorSafeZone
#BekalanAir
#CuacaPanas
#FenomenaElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


