JOHOR PORT, KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA JALIN KERJASAMA PERKASA TVET
ISKANDAR PUTERI — Johor Port Berhad (Johor Port) memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Kementerian Sumber Manusia bagi pemerkasaan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Kerjasama tersebut melibatkan pembangunan kurikulum dan bahan latihan serta menyediakan kemudahan latihan bagi program operasi pelabuhan.
Majlis pertukaran MoC itu berlangsung antara Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir dengan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Md Derick berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran diperolehi di dalam industri pelabuhan dan logistik.
“Justeru, kerjasama selama tiga tahun dengan kementerian adalah bukti komitmen kami untuk menyumbang terhadap pembangunan masyarakat di samping memperkasa industri dengan melahirkan bakat-bakat mahir. Kami juga komited untuk beroperasi secara mampan, bertanggungjawab dan inklusif,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MoC berkenaan juga menandakan satu lagi pencapaian bermakna buat Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau.
“Program latihan berkualiti tinggi yang dihasilkan JPSC juga telah banyak menerima pengiktirafan di peringkat tempatan dan global,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor