PENYURAIAN TRAFIK BSI, KSAB : MB UCAP TAHNIAH


Kerajaan Negeri memberikan tumpuan dan komitmen penuh dalam inisiatif termasuklah cadangan mengaktifkan laluan kontra dalam usaha memastikan kelancaran masuk serta keluar di BSI dan KSAB. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas komitmen menjayakan agenda penyuraian trafik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu menerima maklum balas positif mengenai pengoperasian di dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu.

 

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terus menjayakan agenda penyuraian trafik di BSI dan KSAB. Alhamdulillah, saya telah menerima banyak maklum balas yang positif berkenaan kecekapan dan kesiapsiagaan pengoperasian di kedua-dua CIQ ini.

 

“Meskipun isu kesesakan ini semakin baik di kedua-dua CIQ, itu tidak bermakna kita semua sudah boleh berpeluk tubuh. Komitmen ini perlu diteruskan dan tahap kesiapsiagaan perlu dikekalkan bagi memastikan operasi keluar masuk sempadan negara sentiasa lancar agar ia dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan pengembara serta meningkatkan imej Johor dan Malaysia di mata dunia,” kata beliau di Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri yakin dan percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di laluan antara Johor dan Singapura itu dapat ditangani dengan lebih baik serta berkesan.

 

“Terima kasih diucapkan kepada staf dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), syarikat konsesi dan semua pihak yang terus memberikan komitmen dan kerjasama untuk melancarkan aliran trafik di CIQ KSAB dan BSI,” katanya.

 

Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Johor memberikan tumpuan dan komitmen penuh menerusi pelbagai pendekatan dan inisiatif termasuklah cadangan mengaktifkan laluan kontra dalam usaha memastikan kelancaran masuk serta keluar di BSI dan KSAB.

 

Pada masa sama, Kerajaan Johor juga sentiasa menghargai pengorbanan para petugas di kedua-dua CIQ itu, selain kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan dalam mencari penyelesaian tuntas dan berkesan terhadap isu yang membelenggu sejak sekian lama.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor