JOHOR REKOD HASIL RM2.1 BILION MELEBIHI UNJURAN
#IskandarPuteri – Johor mencatat sejarah apabila merekodkan hasil RM2.1 bilion untuk tahun lalu, tertinggi dan melepasi unjuran awal ditetapkan sebanyak RM1.9 bilion sekali gus berada di landasan kukuh menjadi negeri maju serta muncul sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara.
Pencapaian membanggakan itu didukung oleh usaha gigih anggota perkhidmatan awam dan pelbagai pihak yang terlibat dalam memastikan setiap perancangan direncanakan berjaya direalisasikan bagi memanfaatkan terimaan hasil demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Untuk memajukan lagi sektor ekonomi Johor, Kerajaan Negeri terus memberikan tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) menerusi peruntukan RM2 bilion daripada Kementerian Ekonomi.
Penaiktarafan lapangan terbang tersebut dilihat wajar untuk menarik lebih banyak penerbangan langsung antarabangsa ke negeri ini, dengan perbincangan dan kajian lanjut bersama syarikat Qatar Airways kini sedang berjalan bagi merancakkan lagi sektor pengangkutan dan logistik Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir ke Bengkel Strategik Program Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) di Sunway Hotel Big Box, Iskandar Puteri. Hadir sama, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor, YBhg. Dato’ Sri Idris Jala, Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates serta YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor