JOHOR – SARAWAK KONGSI KEPAKARAN DAN PENGALAMAN


Delegasi Negeri Johor mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Kuching, Sarawak. | Foto ihsan Facebook Fazli Salleh

 

Kerajaan Johor komited meneroka teknologi, inovasi dan sistem baharu bagi membina lebih banyak infrastruktur berimpak tinggi serta berdaya tahan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan usaha tersebut amat signifikan terutama dalam membantu usaha meningkatkan kualiti prasarana di negeri ini.

 

Bagi tujuan itu, beliau telah mengetuai delegasi Negeri Johor mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

 

Dalam pertemuan berkenaan, Johor dan Sarawak saling berkongsi idea dan bertukar pandangan berkenaan menguruskan projek berimpak tinggi.

 

Antaranya, cabaran pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sebagai panduan pelaksanaan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan PLUS Johor Bahru ke Simpang Renggam.

 

Selain itu, Kerajaan Johor turut menimba ilmu untuk pembinaan projek menambah lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru.

 

Pada masa sama, Kerajaan Sarawak juga menyatakan kesediaan untuk belajar daripada negeri ini, berikutan kemampuan Kerajaan Johor dalam pembangunan infrastruktur.

 

Mohamad Fazli menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak atas kesudian menerima kehadiran delegasi Johor serta perkongsian pengalaman menganggotai Kabinet Kerajaan Persekutuan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor