JOHOR SEDIAKAN BANTUAN USAHAWAN TERJEJAS BANJIR

Kenyataan Media YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor bersetuju untuk menyalurkan pelbagai jenis insentif bagi membantu usahawan dan peniaga yang terjejas akibat banjir yang akan merangkumi pelbagai bentuk bantuan kewangan dan pengecualian caj dengan penglibatan 12 agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ).
Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) bersama MPUNJ telah menggerakkan misi bantuan kepada usahawan dengan menawarkan pelbagai bentuk pembiayaan, kemudahan moratorium dan penggantian barangan peralatan perniagaan yang rosak akibat banjir.
Beberapa institusi kewangan akan turut menyediakan bantuan khusus antaranya Bank Negara Malaysia (BNM) yang menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta RM150,000 bagi perusahaan mikro.
Sementara itu, Bank Rakyat, Bank Muamalat dan SME Bank turut menyediakan skim pembiayaan dengan kadar faedah rendah serta tempoh moratorium bagi membantu usahawan terjejas akibat bencana banjir untuk bangkit semula memulakan perniagaan mereka.
Selain itu, Jabatan Pertanian Negeri Johor juga menyediakan bantuan pemulihan termasuk peralatan dan bahan input pertanian bagi petani yang terjejas manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula menawarkan skim pemulihan kredit, geran pembangunan usahawan dan penangguhan bayaran sewa premis.
Dalam usaha memudahkan proses pemulihan perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut menyediakan kemudahan penggantian sijil pendaftaran perniagaan secara percuma kepada peniaga yang terjejas dengan bencana banjir.
Kerajaan Negeri pada Sabtu telah bersetuju memperuntukkan sejumlah RM11.2 juta bagi Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima yang turut memanfaatkan 441 peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) yang dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir.
Sembilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga turut bersetuju memberikan pengecualian semua caj kecuali sewaan untuk Bazar Aidilfitri dan pengecualian semua caj dikenakan oleh PBT bagi Bazar Ramadan yang bakal memberi manfaat kepada 9,839 peniaga di 180 lokasi seluruh negeri ini.
#BantuanKhasKewanganBencana
#BKKBanjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor