JOHOR TERIMA MANFAAT BELANJAWAN 2023


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini / Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Persekutuan akan menambah baik kemudahan jaringan lebuh raya di Johor dengan memperuntukkan sebanyak RM525 juta.

Ia sekali gus dijangka akan dapat membantu merancakkan sektor perlancongan di kawasan berpontensi namun dijejaskan dengan isu kesesakan jalan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia kaya dengan limpahan khazanah alam dan kelebihan ini ternyata mempunyai bagi menjana lebih banyak pendapatan melalui aktiviti pelancongan.

Katanya, dalam menghasilkan daya lonjakan dalam sektor ini, kerajaan menetapkan 2025 sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan sasaran ketibaan 23.5 pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan sehingga RM76.8 juta.

“Terkait hal pelancongan, kesesakan jalan raya telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong. Kerajaan akan melaksanakan projek yang antaranya ialah menambah baik kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembentangan Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada pembentangan belanjawan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan beberapa inisiatif yang turut memberi impak yang signifikan kepada pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat Johor.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 itu, Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif kerajaan dalam memperkasakan perkhidmatan pengangkutan di Johor.

“Perkhidmatan rel dan bas dilihat penting dan beri manfaat besar kepada masyarakat bandar untuk bergerak ke tempat kerja (yang akan dilaksanakan oleh pihak PRASARANA).

“PRASARANA juga secara rintis akan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bahru yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST,” katanya.

Menerusi pembentangan belanjawan sama, Johor turut menerima manfaat dalam penjagaan kesihatan apabila Perdana Menteri turut mengumumkan menaik taraf dan pembesaran hospital.

“Kerajaan juga akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Hospital Jelebu dan Hospital Pontian di Johor yang telah berusia hampir seabad,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun dalam pembentangan RUU Perbekalan 2023 berkata, kerajaan juga akan memberi perhatian terhadap sektor Pelaburan Dalam Sektor Keutamaan.

“Kerajaan bercadang untuk memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor