JOHOR TERIMA PELABURAN PERANTI PERUBATAN BERNILAI RM1 BILION


Kerajaan Negeri Johor menyifatkan pembukaan fasiliti oleh Insulet Corporation sebagai satu lembaran baharu dalam usaha menjadikan Johor sebagai pemain utama dalam industri perubatan. | Foto MDJ

 

Insulet Corporation, syarikat peneraju global dalam teknologi pengurusan diabetes merealisasikan pembangunan fasiliti pembuatan baharu dinamakan Omnipod 5 di Kawasan Perindustrian SiLC, Iskandar Puteri sekali gus menandakan satu pencapaian besar bagi syarikat tersebut dan juga bagi sektor peranti perubatan yang semakin berkembang.

 

Melibatkan nilai pelaburan berjumlah RM1 bilion atau AS$200 juta, pembinaan fasiliti Insulet seluas 400,000 kaki persegi itu telah berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal hasil kerjasama erat pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

 

Bakal mencipta hampir 1,000 peluang pekerjaan, keputusan Insulet Corporation memilih Johor sebagai lokasi fasiliti pembuatan mereka menterjemah keberhasilan strategi Kerajaan Negeri menerusi Invest Johor yang bertindak sebagai pusat sehenti dalam menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelabur asing.

 

Kerajaan Negeri menyifatkan pembukaan fasiliti pembuatan tersebut sebagai satu lembaran baharu dalam usaha menjadikan Johor sebagai pemain utama dalam industri perubatan selain menonjolkan keupayaannya dalam menarik pelaburan antarabangsa bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

 

Selain itu, kehadiran pemain industri global berupaya merangsang pertumbuhan dalam rantaian bekalan dan industri tempatan selain menyediakan peluang bagi kumpulan pembekal dan perkhidmatan tempatan selari dengan matlamat ekonomi Malaysia dalam sektor peranti perubatan.

 

Terdahulu, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir dan menyempurnakan perasmian pembukaan fasiliti Insulet Corporation, Omnipod 5 di Kawasan Perindustrian SiLC, pada Rabu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor