PEMAIN INDUSTRI YAKIN JOHOR MAMPU CAPAI KEHADIRAN 12 JUTA PELANCONG

Johor optimis mencapai sasaran 12 juta kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 susulan sambutan memberangsangkan terhadap sektor pelancongan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memberi manfaat kepada pemain industri, sektor perhotelan, PMKS dan komuniti setempat. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Sasaran menarik 12 juta kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 dilihat mampu dicapai susulan sambutan yang amat menggalakkan terhadap sektor pelancongan negeri serta keyakinan yang dizahirkan pemain industri berkenaan.

 

Bagi Ivan Teoh, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, permintaan terhadap tempahan penginapan di Johor terus menunjukkan perkembangan positif, didorong oleh kepelbagaian produk pelancongan serta peningkatan kehadiran pelancong terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

 

Menurutnya, kepelbagaian tarikan pelancongan termasuk produk warisan, alam semula jadi, gastronomi dan rekreasi menyebabkan pelancong yang datang ke negeri ini melanjutkan tempoh penginapan mereka, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan dan perniagaan tempatan.

 

Pengusaha homestay di Serkat, Tanjung Piai, Md Ezam Daimon, turut melihat peningkatan tempahan penginapan sejak kebelakangan ini sebagai petunjuk bahawa Johor terus menjadi destinasi pilihan pelancong domestik terutama dari Singapura.

 

Beliau turut berpandangan pembangunan infrastruktur serta kemudahan pengangkutan yang semakin baik menjadi antara faktor yang merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat termasuk di daerah lain di Johor.

 

Sementara itu, Ajmal Ahmad Shahrom, Penolong Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor pula berpendapat kepelbagaian produk pelancongan lama dan baharu telah membolehkan Johor memenuhi keperluan pelbagai segmen pelancong, sekali gus meningkatkan daya saing negeri sebagai antara destinasi pelancongan pilihan utama.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM67.6 juta bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan, sekali gus menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Ia termasuk memperkukuh tawaran produk pelancongan antaranya pembukaan Zoo Johor pada waktu malam, pembangunan Muzium Tokoh Johor dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), selain menaik taraf pelbagai fasiliti pelancongan di seluruh negeri bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.

 

Perkembangan positif sektor pelancongan itu diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan memberi manfaat kepada pemain industri, sektor perhotelan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta komuniti setempat.

 

#JohorSafeZone
#MajesticJohor
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor