JOHOR CATAT PERTUMBUHAN KDNK 8.0 PERATUS, ATASI KADAR NASIONAL

Nilai KDNK Johor meningkat kepada RM170.9 bilion berbanding RM158.3 bilion pada tahun 2024, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang ekonomi ketiga terbesar negara dengan sumbangan 9.8 peratus kepada ekonomi Malaysia. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri — Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu utama ekonomi negara apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada tahun 2025 iaitu 8.0 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus.
Menurut laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai KDNK Johor meningkat kepada RM170.9 bilion berbanding RM158.3 bilion pada tahun 2024, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang ekonomi ketiga terbesar negara dengan sumbangan 9.8 peratus kepada ekonomi Malaysia.
KDNK per kapita Johor turut meningkat kepada RM48,031 pada tahun 2025 berbanding RM44,828 pada tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan nilai ekonomi yang dijana oleh negeri ini.
Prestasi memberangsangkan itu turut didorong perkembangan pesat industri pusat data yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Sektor perkhidmatan berkembang 9.9 peratus, disokong subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang melonjak 20.8 peratus, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat infrastruktur digital serta pengukuhan aktiviti logistik di Johor.
Subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan turut meningkat 6.7 peratus, didorong peningkatan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa yang terus merangsang perbelanjaan pengguna serta permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan.
Sektor pembuatan yang menyumbang 28.0 peratus kepada struktur ekonomi Johor turut berkembang 4.0 peratus, dipacu peningkatan permintaan terhadap produk elektrik, elektronik dan optikal yang berkembang 4.9 peratus.
Pada masa sama, sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 26.7 peratus, dengan segmen pembinaan bangunan melonjak 47.4 peratus hasil peningkatan aktiviti pembinaan bangunan bukan kediaman termasuk kemudahan pusat data.
Prestasi cemerlang Johor pada tahun 2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelaburan dan hab ekonomi berimpak tinggi negara.
#KDNK
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


