JOHOR TERIMA PERUNTUKAN LEBIH RM600 JUTA BAGI PEMASANGAN MENARA TELEKOMUNIKASI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata usaha pemasangan ini secara tidak langsung turut menyokong inisiatif menjadikan negeri Johor sebagai sebuah bandar pintar. | Foto MDJ Imran Razib

 

JOHOR BAHRU — Lebih RM600 juta diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi kerja-kerja pemasangan menara telekomunikasi di seluruh daerah di negeri, bermula pada tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata usaha pemasangan ini secara tidak langsung turut menyokong inisiatif menjadikan negeri Johor sebagai sebuah bandar pintar.

 

“Ini (inisiatif) akan menyokong (usaha) ‘Smart City’ kita di mana pada peringkat pelaksanaan 5G dan penanaman fiber optik akan menyelesaikan permasalahan internet di seluruh Johor dalam tempoh tiga tahun.

 

“Kebanyakan pemasangan ini akan melibatkan (lokasi) di sekitar kawasan sekolah yang membolehkan liputan sejauh lima kilometer (seterusnya) akan membantu murid-murid di sekolah dan penduduk di kawasan perumahan setempat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Penutup Forum Bandar Pintar Johor 2023, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.

 

Mohd Jafni berkata, 26 daripada sejumlah 55 lokasi bagi kerja pemasangan menara telekomunikasi telah siap dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM203 juta manakala bakinya akan disiapkan menjelang akhir tahun ini.

 

“Jadi, 55 lokasi ini akan mula menerima perkhidmatan jalur lebar pada akhir tahun ini. Baki peruntukan iaitu RM432 juta pula akan (digunakan) dengan melibatkan 568 lagi lokasi bagi kerja-kerja pemasangan (menara telekomunikasi) dalam tempoh tiga tahun ke hadapan,” katanya.

 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Jafni berkata, penganjuran Forum Bandar Pintar Johor 2023 berjaya menarik hampir 9,500 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

 

“Forum yang julung kali diadakan ini bertujuan bagi memberi maklumat dan perkongsian kepada masyarakat khususnya di Johor tentang kepentingan membina negeri ini ke arah bandar pintar.

 

“Ada juga forum dan perbincangan (diadakan) melibatkan 50 agensi kerajaan, swasta dan pemain industri bagi memastikan kesesuaian agenda bandar pintar ini dengan (kehendak dan keperluan) Bangsa Johor,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor