MPBP JALIN KERJASAMA BERSAMA TM


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyaksikan sesi penyerahan dokumen di antara Telekom Malaysia (TM) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi Pelaksanaan Inisiatif Bandar Pintar di Batu Pahat. | Foto MDJ, Imran Razib.

 

JOHOR BAHRU — Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) menjalin kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui cabang perniagannya, TM One bagi menjayakan inisiatif bandar pintar dan rendah karbon di daerah Batu Pahat.

 

MPBP dalam kenyataan media memaklumkan kerjasama itu dijalinkan untuk menangani isu dan cabaran perbandaran berdasarkan kepada elemen bandar pintar.

 

Malah inisiatif tersebut selari dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 melalui pelancaran pelan tindakan berkenaan.

 

“Bagi memastikan program pelaksanaan bandar pintar di Batu Pahat kekal konsisten, pendekatan melalui tahap kematangan bandar akan digunapakai.

 

“Program Bandar Pintar dan Rendah Karbon itu akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat fasa dan pencapaian setiap peringkat akan dibuat melalui proses penarafan,” jelas kenyataan tersebut.

 

Untuk rekod, MPBP memulakan Inisiatif Bandar Pintar dan Rendah Karbon pada tahun 2019 secara Perkongsian Awam-Swasta bersama syarikat Kiwitech Sdn. Bhd.

 

Antara projek perintis bandar pintar dilaksanakan adalah ‘Smart Traffic Light’, Smart Surveillance’, Pembangunan Pusat Data Bersepadu (IOC), ‘SmartGIS Portal Geoaspatial’ dan ‘Smart City Dashboard’.

 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyempurnakan pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon 2023-2030 MPBP pada Rabu.

 

Pelancaran tersebut berlangsung sempena Majlis Penutup Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

 

Mohd Jafni ketika ditemui pemberita memberitahu MPBP merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terawal memulakan inisiatif bandar pintar sejak empat tahun lalu.

 

“Terdapat beberapa lokasi menggunakan teknologi terkini. Mereka (MPBP) mempunyai ‘dashboard’ atau pusat setempat untuk memantau sistem ‘Smart CCTV’ dan ‘Smart Traffic Light’ yang mana, ini merupakan ‘pilot run’ pertama di negeri Johor melibatkan Majlis Perbandaran,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor