JOHOR TEROKA KERJASAMA STRATEGIK DENGAN SINGAPURA, PACU PEMBANGUNAN BANDAR MAMPAN

Delegasi Kerajaan Negeri ke Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Singapura diketuai YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor bersama Kerajaan Singapura akan terus memperkukuh kerjasama strategik rentas sempadan khususnya melibatkan hal ehwal berkaitan bidang perancangan bandar, perumahan dan pembangunan mampan.
Komitmen ini dapat dilihat menerusi lawatan rasmi Kerajaan Negeri Johor ke Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) di republik itu baru-baru ini, sekali gus menjadi kesinambungan kunjungan rasmi YAB Menteri Besar Johor ke negara jiran itu pada Ogos lalu bagi memperhalusi pelaksanaan dasar Maju Johor dalam konteks Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini sedang giat dilaksanakan.
Delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor telah menerima taklimat oleh YBrs Puan Adele Tan, Ketua Perancang URA Singapura mengenai ‘Draft Master Plan Singapore 2025’, termasuk konsep pembangunan menegak, pengurusan trafik bandar serta integrasi antara perumahan, kemudahan awam dan sistem pengangkutan.
Pendekatan komprehensif yang diamalkan oleh URA Singapura turut menjadi inspirasi kepada Johor untuk memperkukuh aspek perancangan jangka panjang dalam menjadikan negeri ini lebih berdaya huni, inklusif dan sejahtera, selain turut membuka peluang perkongsian kepakaran dalam pembangunan semula bandar, pengindahan landskap, penyediaan ruang awam interaktif serta inovasi seperti ‘rooftop greenery’ dan ‘public spaces’.
Lawatan ke URA Singapura ini sejajar dengan hala tuju ‘Johor Smart City Blueprint 2030’ dan Agenda Bangsa Johor Bahagia yang memberi penekanan terhadap keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, interaksi sosial dan kelestarian alam, selain mencerminkan kesungguhan Johor untuk belajar, berinovasi, bertindak pantas dan seterusnya menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu yang berdaya tahan dengan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan Negeri melalui agensi seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Johor; Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor; Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan terus memanfaatkan input lawatan ini untuk diterjemahkan dalam bentuk projek berimpak tinggi, khususnya di kawasan Iskandar Malaysia dan JS-SEZ.
#JohorSafeZone
#JohorSmartCity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor