JOHOR WUJUDKAN PUSAT PEMULIHAN, PEMURNIAN AKIDAH DAN LGBT


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyatakan akan mewujudkan Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurnian Syariah Islam bagi pemurnian kelompok LGBT untuk kembali kepada fitrah asal. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif mewujudkan Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurnian Syariah Islam bagi menempatkan individu atau kelompok disabitkan kesalahan jenayah syariah berkaitan akidah mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan pusat tersebut juga akan menempatkan golongan bagi pemurnian isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) agar kembali kepada fitrah asal.

 

Pusat pemulihan itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan diwujudkan di negeri ini, malah kini sedang dalam proses persiapan kemasukan harta modal dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun hadapan.

 

Mohd Fared memaklumkan perkara itu ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (Ahli Dewan Negeri Maharani) ketika Mesyuarat Keempat bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 29 November 2023.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor