KLINIK KESIHATAN BERGERAK SEDIA SARINGAN KESIHATAN MENTAL


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan inisiatif klinik kesihatan bergerak akan dilaksanakan. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Inisiatif klinik kesihatan bergerak diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024 akan turut menyediakan saringan kesihatan mental melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan perkhidmatan diberikan adalah psikologi dan kaunseling bagi membantu kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental rakyat negeri ini, terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Kerajaan Johor akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membina kesedaran pencegahan melalui pengesanan awal kes bunuh diri dan intervensi atau rawatan.

 

Tian Soon berkata demikian ketika menjawab soalan Amira Aisya Abd. Aziz (Ahli Dewan Negeri Puteri Wangsa) ketika Mesyuarat Keempat Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, pada 29 November 2023.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024 mengumumkan inisiatif klinik kesihatan bergerak yang diperkenalkan secara berperingkat ke 56 kawasan DUN.

 

Inisiatif yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan asas dan pergigian dengan peruntukan RM1.3 juta merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Yayasan Mohamed Noah, JKNJ, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan NGO.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor