JPW NEGERI JOHOR LAKSANA PELBAGAI PROGRAM PEMERKSAAN WANITA


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Johor banyak melaksanakan program pemerkasaan wanita termasuk golongan ibu tunggal di negeri ini, melalui program 4K.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, program 4K itu adalah kemahiran, keseimbangan, kewangan dan kesaksamaan serta kepimpinan kendiri yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Menurutnya, program-program tersebut mendidik golongan wanita untuk berdikari dan menjana pendapatan agar mampu menjadi sumber pendapatan keluarga.

“Untuk makluman, YPKDT juga menyediakan pelbagai inisiatif bagi peningkatan pendapatan terutamanya kepada golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah melalui beberapa program iaitu Women’s Income-Generating Skills Project (WINGS) dan Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP).

“Lain-lain program seperti Webinar Kesihatan Mental 2021 dan Program Sokongan Moral 2021 di bawah inisiatif MIND-X serta Program Saksama Bersama Wanita Johor 2022,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Khairin-Nisa berkata, selain itu terdapat perancangan kerajaan negeri melalui Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor 2022-2031 selain YPKDT memperluaskan kerjasama strategik melibatkan ‘knowledge transfer’ dan penbangunan usahawan wanita Johor.

Ujar beliau lagi, YPKDT turut menyediakan platform Bazar Suri bagi pemasaran produk selain Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB) yang dijalankan dengan 270 usahawan berpotensi telah dikenalpasti sehingga kini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor