KERAJAAN JOHOR TERIMA CADANGAN BINA TMIYC DI SEGAMAT


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerima satu cadangan pembinaan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Segamat dikemukakan untuk diberikan pertimbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, lokasi cadangan adalah berhampiran Taman Batu Hampar, Segamat yang membabitkan kawasan seluas 2.058 hektar.

“Sebagaimana yang pernah dinyatakan sebelum ini, inisiatif pembinaan TMIYC di setiap daerah menjelang tahun 2027 merupakan satu daripada KPI yang ditetapkan di bawah portfolio saya.

“Menerusi inisiatif ini, satu cadangan sudah dikemukakan kepada pihak saya bagi pembinaan sebuah TMIYC di Lot 740 berhampiran Taman Batu Hampar, Segamat yang membabitkan kawasan seluas 2.058 hektar.

“Justeru, setiap cadangan dan pembinaan TMIYC di setiap daerah termasuk di Segamat akan saya ikuti dari masa ke masa serta dimaklumkan perkembangannya kepada umum,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Jementah, Ng Kor Sim mengenai pertimbangan kerajaan untuk membina pusat sukan di bandar Segamat.

Mohd Hairi berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tiada perancangan untuk pembinaan baharu kompleks sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah.

Bagaimanapun ujarnya, permohonan boleh dipanjangkan kepada pihak kementerian untuk pertimbangan lanjut.

Selain itu, Mohd Hairi berkata, pihaknya telah berhubung dengan pejabat Menteri Belia dan Sukan yang baharu bagi menetapkan tarikh pertemuan serta mengadakan perbincangan hala tuju pembangunan belia dan sukan khususnya di negeri ini.

“Pastinya saya akan membentangkan dan memaklumkan setiap perancangan Negeri Johor khususnya menerusi Agenda Orang Muda Johor kepada YB Menteri.

“Diharapkan Kerajaan Persekutuan dapat membantu dan menyalurkan peruntukan berkaitan untuk sama-sama Bangsa Johor mendapat manfaat daripada setiap inisiatif yang dirancang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor