KERAJAAN SEDIA PELBAGAI INSENTIF BANTU PETANI DI JOHOR TERMASUK JEMENTAH


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Johor memperuntukkan RM12.18 juta bagi pelaksanaan 188 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) sepanjang 517.44 kilometer di Johor, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, bagi kawasan Jementah untuk tahun 2022, sebanyak empat projek dilaksanakan.

“Kerja menaik taraf Jalan Tukiman, Kampung Sengkang Legeh; kerja menaik taraf Jalan Siti Ngaeshah, Kampung Paya Lebar; kerja membina Jalan Darat, Kampung Permatang Panjang dan kerja menaik taraf Jalan Kurung, Kampung Ah Tong,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Jementah, Ng Kor Sim mengenai langkah bagi mengatasi masalah infrastuktur terutama jalan dalam kebun dihadapi petani di DUN Jementah.

Zahari berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor pula melaksanakan 242 projek di negeri ini, melibatkan peruntukan keseluruhan RM31.45 juta.

Ujarnya, sebanyak RM1.74 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan 18 projek infrastruktur di Jementah termasuk kerja berkaitan penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran serta membaiki jalan ladang.

Selain itu, katanya, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif kepada para petani, usahawan serta syarikat swasta dalam membangunkan projek yang diceburi dari mula pembukaan kawasan sehingga ke produk hiliran.

“Jabatan amat menggalakkan petani dan usahawan dapat memulakan projek terlebih dahulu bagi melihat keseriusan serta komitmen mereka dalam menjalankan projek pertanian.

“Pengusaha akan terus dibantu oleh jabatan menerusi program-program yang berkaitan dan salah satu insentif yang diberi adalah penyediaan infrastruktur ladang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu pengusaha akan dibantu di dalam pembangunan ladang seperti pembangunan sistem pengairan, saliran dan perparitan, pembinaan jambatan atau titi, jalan ladang, penyediaan pagar, pembinaan bangsal kompos serta stor bahan input.

“Bagi pembinaan jalan ladang di dalam satu lot kawasan projek yang diusahakan, insentif yang diberikan bergantung kepada keluasan yang terlibat mengikut perkadaran insentif iaitu maksimum RM20,000 per hektar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor