JTDC PASTIKAN GRADUAN TIDAK MENGANGGUR


Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) selaku sekretariat Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Langkah strategik penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bakal meningkatkan keupayaan negeri ini dalam menyediakan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memenuhi permintaan industri.

 

Bagi menjayakan usaha berkenaan, Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) selaku sekretariat JTDC berperanan memacu hala tuju majlis pembangunan tersebut dalam memastikan ketersediaan tenaga kerja tempatan yang dilengkapi dengan latihan kemahiran.

 

Selain turut bertanggungjawab menyelaras program pembangunan bakat terbaik, Herman Raban, Pengurus Besar SMI turut melihat pendekatan lama tanpa memikirkan keperluan industri tidak lagi relevan dan perlu diselaraskan semula agar graduan berkelayakan diterima bekerja.

 

Komitmen JTDC dan SMI dalam memastikan graduan diterima bekerja sejurus tamat latihan tanpa perlu melalui tempoh menganggur yang panjang mencerminkan iltizam Kerajaan Johor menghapuskan dilema dihadapi generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Momentum dimiliki Johor menghadapi pembangunan ekonomi pesat juga mendorong SMI bergerak pantas memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam menyediakan tenaga mahir dalam sektor tenaga hijau, ekonomi digital, kesihatan dan perkhidmatan.

 

Justeru, JTDC kini dilihat sebagai instrumen baharu Kerajaan Negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan bergaji premium seterusnya meletakkan Johor terus berada di landasan kukuh menjadi negeri berdaya tahan dalam menghadapi cabaran tenaga kerja pada masa hadapan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor