JUALAN KASIH BANGSA JOHOR PARLIMEN SEGAMAT TERIMA SAMBUTAN


Wajah ceria penduduk setempat mendapatkan barangan pada harga berpatutan sempena JKBJ@Parlimen Segamat | Sumber Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Jualan Kasih Bangsa Johor (JKBJ) Parlimen Segamat berlangsung meriah dengan kehadiran penduduk setempat mendapatkan barangan jualan pada harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, program tersebut berlangsung di Kampung Balai Badang, dekat Segamat, semalam, lokasi ketiga dalam siri JKBJ@Parlimen Segamat.

“Ianya merupakan lokasi atau kampung ketiga dalam siri JKBJ@Parlimen Segamat ini. Sebelum ini, di Kampung Bukit Tunggal dan Kampung Gelang Chinchin.

“Program jualan ini nenawarkan harga potongan lebih 50 peratus bagi komoditi terpilih seperti ayam, sayur, minyak masak, ikan dan telur. Alhamdulillah, sambutan yang sangat baik dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Zahari berkata, penduduk mendapat manfaat bekalan makanan murah selain usahawan FAMA juga meraih peluang untuk memasarkan hasil pertanian.

“Insha Allah program ini akan diteruskan di lokasi lain pula selepas ini. Terima kasih FAMA Negeri Johor dan Segamat dan Yayasan Makmur Segamat yang menjadi penganjur utama program ini serta kepimpinan penduduk kampung yang bekerjasama menjayakan JKBJ ini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor