ENAM PPS BEROPERASI SUSULAN BANJIR TIGA DAERAH


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyantuni mangsa banjir daerah Kulai di PPS | Sumber Facebook Mohd Jafni Md Shukor.

 

ISKANDAR PUTERI — Tiga daerah di negeri ini, terjejas susulan kejadian banjir dan banjir kilat melibatkan keseluruhan enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu laporan setakat jam 8 pagi tadi, memaklumkan keseluruhan 63 keluarga terdiri 276 mangsa di tiga daerah tersebut terjejas.

Daerah Segamat menunjukkan trend banjir yang tidak berubah dengan 18 keluarga melibatkan 57 mangsa dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya.

Sebanyak tiga PPS di daerah Segamat masih beroperasi iaitu Balairaya Kampung Batu Badak, Balairaya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Tasek.

Sementara itu, sebanyak dua PPS dibuka di daerah Kulai berikutan kejadian banjir kilat bagi menempatkan 40 keluarga terdiri 194 mangsa dari Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya.

Dua PPS tersebut adalah Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya.

Manakala, kejadian banjir kilat di daerah Kluang menyaksikan lima keluarga terdiri 25 mangsa dari Kampung Ithnin Maarof yang ditempatkan di PPS Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor