JUMLAH MANGSA BANJIR TERUS MENINGKAT


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang melakukan pemantauan kawasan hotspot banjir | Sumber Facebook Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Negeri Johor terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan setakat jam 4 petang, memaklumkan statistik kejadian banjir menunjukkan trend meningkat.

 

Sehingga kini, sebanyak 298 keluarga terdiri daripada 1,093 penduduk terjejas dalam kejadian banjir di Kota Tinggi, Kluang dan Segamat yang telah ditempatkan di 13 PPS.

 

Dua PPS baharu dibuka dan beroperasi di daerah Kluang iaitu Sekolah Agama Sri Tengah 1 dan Kampung GSA Chamek.

 

PPS Sekolah Agama Sri Tengah 1 menempatkan sembilan keluarga terdiri 36 penduduk dari Kampung Tengah Dalam, manakala PPS Kampung GSA Chamek menempatkan sebuah keluarga terdiri empat penduduk dari Kampung GSA Chamek.

 

Manakala daerah Segamat pula, tiga PPS baharu dibuka dan beroperasi iaitu SK Kampung Tenang Labis, SJKC Ai Chun dan Balairaya Kampung Usaha Jaya.

 

PPS SK Kampung Tenang Labis menempatkan 143 keluarga terdiri 477 penduduk dari Kampung Tenang. Selain itu, PPS SJKC Ai Chun menempatkan 12 keluarga terdiri daripada 72 penduduk dari Kampung Lembah Bakti.

 

Manakala PPS Balairaya Usaha Jaya yang menempatkan 13 keluarga terdiri daripada 55 penduduk dari Kampung Usaha Jaya.

 

Di samping itu, setakat ini, Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi dan Jalan Senai-Gemas ditutup untuk semua kenderaan berikutan banjir manakala Jalan Utama Johor Bahru-Endau dibuka untuk satu lorong.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor