EXCO KERAJAAN JOHOR TINJAU PPS, SANTUNI MANGSA BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar bertanya khabar dengan mangsa banjir di PPS | Sumber Facebook Raven Kumar Krishnasamy.

 

ISKANDAR PUTERI — Kejadian banjir melanda di tiga daerah di Negeri Johor, mendapat perhatian daripada pemimpin kerajaan negeri yang telah mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar mengunjungi PPS SMK Seri Perdana dan PPS SJKC Ping Ming di Kluang.

 

“Saya telah minta untuk membuat persiapan awal kerana mangsa yang dipindahkan kemungkinan bertambah. Saya juga sempat menyantuni keadaan mangsa banjir dan memastikan segala kelengkapan dan kebajikan mangsa banjir mesti dipenuhi,” kata beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip pula mengadakan lawatan ke PPS Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah dan PPS SK Kampung Tenang di Labis, Segamat.

 

Beliau turut memaklumkan telah meminta pemimpin masyarakat membuat persiapan sebagai persediaan berikutan jumlah mangsa dipindahkan yang berkemungkinan menunjukkan pertambahan.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, beliau bersama pasukan sentiasa memantau kawasan hotspot banjir.

 

“Sekiranya kawan-kawan ada info banjir di dalam kawasan DUN Larkin dan juga lain-lain kawasan seluruh Johor, boleh share dengan saya.

 

“Insha Allah Team Southern Volunteers setiap daerah akan sentiasa bersiap siaga. Kepada orang ramai, jika diarah dan diminta untuk berpindah, mohon semua dapat akur dengan arahan APM, bomba dan pejabat daerah,” katanya.

 

ADUN Larkin itu turut mengingatkan orang ramai agar menjauhi lokasi berbahaya seperti tiang elektrik dan pesisir sungar selain para ibu bapa mengawasi anak masing-masing.

 

“Buat ibu bapa, awasilah anak-anak kita Jangan ghairah atau suka-suka mandi dalam banjir kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat seperti haiwan berbisa, air kencing tikus, dan aliran elektrik.

 

“Berikan keutamaan kepada perkara penting untuk diselamatkan seperti nyawa keluarga, dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit jika sempat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor