KARNIVAL MAJU JOHOR @ UTM 2526: GALAK BANGSA JOHOR CEBURI PERNIAGAAN DALAM SEKTOR PERTANIAN

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ketika di Karnival Maju Johor @ UTM 2526 di Dataran UTM Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru- Kerajaan Negeri sentiasa komited menyokong dan memacu pembangunan sektor pertanian moden, industri asas tani serta kemajuan luar bandar sebagai usaha untuk menggalakkan Bangsa Johor menceburi bidang perniagaan khususnya dalam sektor pertanian.

 

Bagi maksud itu, penganjuran Karnival Maju Johor @ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2526 kali ini menghimpunkan 50 gerai jualan asas tani, 140 gerai jualan barangan keperluan harian dan 100 gerai jualan makanan citarasa Malaysia yang bertujuan untuk membuka ruang pemasaran, meningkatkan pendapatan usahawan tempatan serta merancakkan ekonomi setempat seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Karnival yang dilaksanakan dengan kerjasama UTM ini secara tidak langsung turut mengangkat peranan institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebagai antara rakan strategik Kerajaan Negeri dalam pembangunan ekonomi, teknologi dan komuniti, di samping menyokong usahawan kecil dan sederhana khususnya membabitkan kalangan penggiat industri tani serta peniaga tempatan di Negeri Johor.

 

Untuk rekod, seramai 1,600 usahawan Industri Asas Tani (IAT) di negeri ini telah mencapai nilai jualan berjumlah RM348 juta bagi tahun 2024 hingga 2025, sekali gus meletakkan Negeri Johor di kedudukan teratas di peringkat nasional.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan perasmian Karnival Maju Johor @ UTM 2526 di Dataran UTM Johor Bahru.

 

Turut hadir ialah YBhg. Prof Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM; YBrs. Puan Haslin Marlina Hashim, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Johor; YBhg. Profesor P. Geol. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) serta YBrs. Prof Dr. Yusof Boon, Pengarah Program Karnival Maju Johor @ UTM 2526.

 

#JohorSafeZone
#UTM
#KarnivalMajuJohor2025
#KMJUTM2526
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor