KELAB MEDIA JOHOR DISARAN AKTIF KEUSAHAWANAN, KOPERASI


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan kelab yang sudah berusia lebih sedekad itu menjana pendapatan sendiri. | Foto ihsan FB Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengesyorkan Kelab Media Johor dengan keahlian di kalangan pengamal media di negeri ini, untuk terlibat secara serius dalam sektor keusahawanan dan gerakan koperasi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan kelab yang sudah berusia lebih sedekad itu menjana pendapatan sendiri.

 

“Selaku EXCO Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, saya turut meminta Kelab Media Johor yang menghimpunkan rakan-rakan media daripada pelbagai agensi dan keahlian yang ramai untuk bergerak aktif menceburi lain-lain bidang seperti keusahawanan atau koperasi yang dilihat mampu menjana pendapatan, malah boleh dipulangkan semula keuntungan yang diperolehi untuk kebajikan ahli kelab,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor Tahun 2023/2024 di Johor Bahru, pada Selasa.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin; Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim serta Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

 

Selain itu, Mohd Hairi berkata, tugas sebagai pengamal media sememangnya amat dekat dengannya yang juga sebelum ini pernah berkhidmat membantu sebagai pengamal media.

 

“Peranan media memang tidak dinafikan satu tanggungjawab besar sebagai penyebar dan ‘jambatan’ yang menyalurkan segala bentuk maklumat serta usaha kerajaan yang memerintah tidak kira Persekutuan mahupun di peringkat negeri, kepada rakyat di bawah sana.

 

“Menjelang PRN di enam negeri ini, peranan media sememangnya dilihat lebih penting. Perkongsian maklumat serta laporan berita perlu seimbang dan tidak ditokok tambah atau diperolehi daripada sumber tidak sahih,” katanya.

 

Sementara itu, Mohamad Fauzi dalam ucapannya berkata, mesyuarat agung tahunan kali ini menjadi platform terbaik dan ruang demokrasi untuk memilih barisan jawatankuasa seterusnya melahirkan barisan pelapis bagi mengemudi kelab berkenaan dalam tempoh satu penggal.

 

“Sudah tentulah mereka yang akan membarisi kepimpinan dan ahli jawatankuasa Kelab Media Johor terdiri daripada kalangan mereka yang komited memegang amanah dipertanggungjawabkan.

 

“Dengan kesungguhan dan kreativiti melaksanakan aktiviti yang bakal dirancang dan direncana kelak, sudah tentulah Kelab Media Johor (kewujudannya) akan terus malar segar sekali gus tidak lapuk ditelan masa,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor