TINDAKAN PANTAS BERJAYA ELAK PROVOKASI LEBIH BURUK


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah ketika temubual selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers (SV) Sekolah 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Jaafar . | Foto MDJ: Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Tindakan pantas pihak pengurusan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri membawa keluar penyokong bertindak di luar kawalan pada perlawanan akhir Piala FA 2023, berjaya mengelak kejadian provokasi lebih buruk.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan yang wajar sekiranya tidak diambil dibimbangi boleh mencetuskan pergaduhan sama ada di dalam mahupun di luar stadium.

 

“Tindakan awal itu sepatutnya kita kena berterima kasih kepada pihak berwajib. Kerana mereka dapat mengawal keselamatan agar provokasi tidak meluas.

 

“Selepas ini, saya minta pihak berwajib meneruskan (kawalan keselamatan). Selaku EXCO Belia dan Sukan saya menyokong penuh agar setiap stadium (termasuk venue sukan) dapat dikawal sama ada oleh pihak keselamatan stadium, polis atau pihak berwajib untuk keselamatan umum,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers (SV) Sekolah 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Jaafar di sini, hari ini.

 

Mohd Hairi berkata, bola sepak merupakan sukan dan aktiviti berbentuk kekeluargaan sekali gus tidak perlu ada sebarang provokasi melampau daripada penyokong sama ada dari dalam mahupun luar negeri ini.

 

“Kalau tidak puas hati kita ada gelanggang (sukan). Jangan tunjuk ‘hero’ di khalayak ramai (dengan tindakan melampau tidak bertempat),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor