KERAJAAN JOHOR BAWA PULANG MANGSA SINDIKET PEKERJAAN DI KEMBOJA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyambut ketibaan anak Johor yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri berjaya menyelamatkan dan membawa pulang tujuh rakyat Johor menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.

Ketujuh-tujuh mangsa telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) jam 12 tengah malam tadi. sebelum empat daripadanya di bawa pulang ke Johor Bahru.

Ketibaan mereka di Johor Bahru telah disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, pagi tadi.

Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) kerana melihat isu itu secara serius sekali gus membantu mangsa.

“Ini bukanlah kes yang pertama tetapi apabila tularnya di media sosial berkaitan dengan tujuh orang mangsa katanya datang dari Johor, YAB Menteri Besar melihat perkara ini secara serius di bawah portfolio saya iaitu sumber manusia dan belia.

“Justeru itu, pegawai saya menghubungi secara langsung Kedutaan Malaysia di Kemboja melalui Wisma Putra. Alhamdulillah mereka berlepas semalam (dari Kemboja) dan tiba di KLIA2 jam 12 tengah malam tadi dan dibawa ke Johor melalui pengangkutan yang kita sediakan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Hairi berkata, Kerajaan Johor telah menanggung semua kos membawa pulang ketujuh-tujuh mangsa berjumlah lebih RM15,000 melibatkan laporan polis, penginapan, dokumentasi serta makan dan minum selama sembilan hari selain tiket penerbangsan pulang.

Beliau turut mengambil kesempatan mengingatkan golongan belia agar sentiasa melihat peluang pekerjaan di negeri ini terlebih dahulu, berbanding tawaran ke luar negara.

“Kerajaan Johor sentiasa memahami apa kehendak belia-belia di Negeri Johor. Saya selepas ini akan memantau ketujuh-tujuh untuk membantu mereka mencarikan peluang pekerjaan di bawah (Unit) SMI (Strategik Modal Insan).

“Terima kasih kepada keseluruhan kakitangan kerajaan khasnya di Kedutaan Malaysia di Kemboja kerana dapat bersama membantu Kerajaan Johor,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video ‘Rayuan Anak Johor Untuk Diselamatkan’ yang menyaksikan ikhtiar kerajaan negeri menghubungi Wisma Putra bagi menyelamatkan sekali gus membawa pulang mangsa.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor