KERAJAAN JOHOR CADANG BENTUK JAWATANKUASA PERUBAHAN IKLIM DAN PENGURUSAN BANJIR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membawa cadangan kerajaan negeri untuk membentuk sebuah jawatankuasa dibarisi Ahli-Ahli Dewan Negeri merentasi parti politik bagi menangani isu perubahan iklim di Dewan Negeri Johor, hari ini | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri mencadangkan satu Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir dibentuk oleh Dewan Negeri Johor bagi menangani isu perubahan iklim terutama di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawatankuasa tersebut yang dicadangkan akan dibarisi Ahli-Ahli Dewan Negeri merentasi parti politik.

 

Menurutnya, cadangan berkenaan susulan titah peringatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkait rapat dengan misi kerajaan negeri untuk mencari langkah yang efektif bagi menangani isu perubahan iklim.

 

“Oleh itu, mengikut Fasal 32(8) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor, kerajaan negeri akan mengemukakan satu rundingan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir semasa sidang DUN ini.

 

“Menjadi harapan saya agar rundingan ini akan disokong sebulan suara oleh semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berada di dalam Dewan ini,” kata beliau pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak akan berpeluk tubuh terhadap penderitaan yang dialami Bangsa Johor berdekad lamanya bahana bencana banjir.

 

Selain itu, beliau menjunjung kasih atas peringatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas titah peringatan pada Pembukaan Rasmi, Khamis lalu.

 

Menteri Besar Johor turut merekodkan penghargaan kepada baginda Tuanku Sultan atas titah peringatan mengenai masalah banjir ini yang juga, adalah kesan daripada perubahan iklim dunia.

 

“Oleh itu, DYMM Tuanku telah menggesa kepada semua Bangsa Johor supaya membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

 

“DYMM Tuanku juga berkenan mengingatkan kita semua setiap pembangunan yang hendak dibuat di kawasan berbukit atau tanah tinggi, mestilah mengekalkan bentuk. Patik menjunjung kasih atas peringatan DYMM Tuanku Sultan Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor