7 USAHA BAGI TANGANI BANJIR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz memaklumkan tujuh usaha dilakukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu banjir di negeri ini, kata Menteri Besar Johor | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Tujuh usaha dilaksanakan kerajaan negeri dan persekutuan bagi menangani isu banjir di negeri ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Menurutnya, kesemua usaha tersebut merangkumi langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

 

“Pertama Rancangan Tebatan Banjir (RTB). Dua RTB sudah dilaksanakan iaitu Lembangan Sungai Muar Fasa 1 di Segamat dan Lembagan Sungai Muar Fasa 2 di Muar dan Tangkak. Untuk RTB semasa dan akan dilaksanakan, Lembangan Sungai Johor Fasa 1 di Kota Tinggi, Kampung Sungai Kapal Lama di Kota Tinggi, Kampung Spang Loi di Segamat, Seri Medan di Batu Pahat dan Sungai Pemandi di Kota Tinggi. Untuk yang akan datang, yang telah dimohon adalah RTB di Bandar Batu Pahat dan Sungai Muar Fasa 3 di Segamat.

 

“Dan di dalam proses permohonan pula, Lembangan Sungai Pontian Besar dan Sungai Pontian Kechil di Pontian, Lembabgan Sungai Tenglu Besar di Mersing, RTB Sungai Belemang di Tangkak, Lembangan Sungai Kesan Fasa 2 di Tangkak dan Lembangan Sungai Muar Fasa 4 dari Kampung Jaya ke FELDA Medoi di Segamat,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, usaha kedua adalah penyelenggaraan parit, pintu air, sungai, saliran, pantai, jalan ladang, rumah pam, jambatan dan lain-lain yang berkaitan.

 

“Sebelum ini, tahun lepas kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM39.9 juta dan tahun ini telah diluluskan peruntukan berjumlah RM43 juta,” katanya.

 

Beliau memberitahu usaha ketiga adalah pam bergerak atau ‘portable pump’ yang digunakan untuk proses pengepaman air banjir terutama di daerah Batu Pahat.

 

“Bilangan pam bergerak sedia adalah iaitu hak milik JPS Johor adalah sebanyak 20 unit diikuti bantuan luar 53 unit menjadikan keseluruhan adalah 73 unit. Akan ada tambahan enam unit lagi pada tahun ini,” katanya.

 

Usaha keempat, Menteri Besar Johor memaklumkan melibatkan menaik taraf rumah pam.

 

“Dua rumah pam telah dinaiktaraf iaitu Parit Johar dan Bakau Condong di Batu Pahat. Sedang dinaiktaraf adalah di Kuala Senggarang dan Parit Bintang di Batu Pahat, Kampung Pasir dan Kampung Seri Serdang di Johor Bahru serta Sungai Durian di Pontian.

 

“Pada masa akan datang, tambahan sebanyak lima rumah pam menjadikan keseluruhan adalah 19 unit,” katanya.

 

Onn Hafiz berkata, usaha kelima adalah menaik taraf pintu-pintu air di negeri ini.

 

“Pada masa kini, sebanyak 207 pintu air di seluruh Johor. Enam projek negeri telah dilaksanakan, manakala sedang dan akan dilaksanakan pula melibatkan lapan projek negeri dan tiga projek persekutuan,” katanya.

 

Usaha keenam pula, beliau memberitahu adalah Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRABN) di mana 247 stesen sedang dilaksanakan iaitu 140 buah stesen hidrologi dinaiktaraf dan 107 stesen hidrologi baru dibina,” katanya.

 

Menteri Besar Johor berkata, usaha ketujuh adalah Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) iaitu kerangka pengurusan air hujan di dalam kawasan kajian berkenaan kuantiti dan kualiti air serta aset inventori.

 

“Telah dilaksanakan di kawasan Tebrau, Plentong dan Pengerang. Akan dilakukan pada masa akan datang di kawasan Johor Bahru, Muar, Pontian, Pekan Nenas dan Batu Pahat,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor