KERAJAAN JOHOR HULUR BANTUAN SEGERA USAHAWAN TERJEJAS KEBAKARAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi agensi Pembangunan Usahawan, Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd (PUJB). | Foto ihsan FB Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan menyalurkan bantuan segera kepada empat usahawan yang terjejas akibat kebakaran di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru, pagi tadi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi agensi Pembangunan Usahawan, Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd (PUJB).

 

“Sejurus selepas mendapat maklumat mengenai kejadian kebakaran, saya berhubung dengan pihak bomba bagi memberi ruang dan masa untuk mereka melakukan operasi pemadaman api.

 

“Sejurus tiba ke lokasi, saya diberi sedikit taklimat daripada Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memaklumkan sebanyak empat premis terjejas dalam kejadian yang dipercayai berlaku jam 8 pagi di tingkat dua terminal,” katanya di laman Facebook rasminya selepas mengadakan tinjauan ke lokasi kebakaran, hari ini.

 

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat serta Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Ahmad Mukhlis Mukhtar.

 

Mohd Hairi berkata, keadaan di Larkin Sentral masih terkawal dengan pihak JBPM akan mengambil alih kawasan terjejas bagi menjalankan proses forensik dan siasatan lanjut.

 

“Manakala bahagian lain dalam Terminal Bas Larkin Sentral akan dibuka dan beroperasi seperti biasa,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor