DEWAN NEGERI JOHOR GUNA ISTILAH PENGIMBANG GANTI PEMBANGKANG


Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.

 

ISKANDAR PUTERI — Dewan Negeri Johor menggunakan istilah pengimbang bagi menggantikan pembangkang bagi Ahli Dewan bukan di pihak kerajaan.

 

Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, penggunaan istilah tersebut dilihat lebih murni, tepat, komprensif dan futuristik.

 

“Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Negeri Johor telah mencipta sejarah yang tersendiri. DYMM Tuanku telah bertitah, istilah pembangkang tidak lagi sesuai digunakan di Dewan yang mulia ini. Justeru, sebagaimana yang telah dimulakan oleh YAB Machap semalam, kita akan mengguna istilah pengimbang.

 

“Istilah pengimbang lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristik untuk mewujudkan peranan Dewan Negeri yang lebih berwibawa. Menjunjung kasih Tuanku,” kata beliau dalam ucapan pemasyhuran di Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Ketika bertitah pada Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 16 Mac lalu, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berpendapat gelaran pembangkang diberikan kepada Ahli Dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai.

 

Titah tersebut berikutan peranan Ahli Dewan di pihak bukan kerajaan bukan hanya membangkang segala cadangan kerajaan, sebaliknya bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan.

 

Bagaimanapun, baginda Tuanku Sultan mengingatkan agar tiada sikap membalas dendam atau mencari salah kerajaan di kalangan Ahli Dewan di barisan pengimbang.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor