KERAJAAN JOHOR MOHON KKM BERI PERHATIAN KEPADA HSA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan fasiliti kesihatan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, selain menyantuni pesakit dan pelawat yang ditemui | Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharapkan dapat menyelesaikan perkara berbangkit melibatkan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri pula akan membantu KKM bagi menambahbaik sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.

 

“Ia (HSA) merupakan antara hospital awam yang tersibuk di Malaysia dengan jumlah lebih 1,600 orang pesakit luar dan 600 orang pesakit di wad kecemasan sehari.

 

“Keadaan yang padat dan sesak tidak dibantu dengan kekurangan doktor, jururawat, paramedik dan Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) menjadi cabaran utama di sini,” kata beliau di Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor melakukan lawatan mengejut di HSA Johor Bahru bagi melihat sendiri keadaan fasiliti kesihatan tersebut, selain menyantuni pesakit dan pelawat yang ditemui.

 

Dari segi isu teknikal, Onn Hafiz berkata, antara perkara dibangkitkan adalah laluan pejalan kaki berbumbung dan sesuai untuk pengguna berkerusi roda dari bangunan utama ke klinik pesakit luar.

 

Ujarnya, selain itu, sistem nombor giliran yang lebih sistematik dan efisien serta temujanji secara dalam talian lebih cekap untuk pesakit turut dibangkitkan.

 

“Saya berharap dan memohon agar pihak KKM dapat membantu menyelesaikan perkara-perkara ini. Kerajaan negeri akan membantu kementerian menambahbaik sistem sedia ada bagi keselesaan pengguna dan petugas,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor