KERAJAAN JOHOR TUMPU LIMA ISU UTAMA BAGI CAPAI NEGERI MAJU MENJELANG 2030


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lima teras tersebut termasuk isu melibatkan pintu masuk di sempadan negara di negeri ini, jalan raya, banjir, kemudahan kesihatan dan agenda Johor Bersih. | Foto oleh: Nurina Aisyah, MDJ

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri Johor akan memberi perhatian khusus terhadap lima perkara pada tahun ini bagi memastikan misi mencapai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lima teras tersebut termasuk isu melibatkan pintu masuk di sempadan negara di negeri ini, jalan raya, banjir, kemudahan kesihatan dan agenda Johor Bersih.

 

Bagi tujuan itu, beliau berkata, kerajaan akan menekankan lima aspek antaranya operasi laluan keluar masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di mana gerakan bersepadu antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memastikan operasi di sana berjalan dengan baik dan lancar.

 

“Keduanya, kita mahu pastikan Negeri Johor ini bersih. Kita nak kurangkan pencemaran kerana aspek kebersihan, kesihatan, keselamatan dan pencemaran ini semua berhubung kait dan Johor perlu bersih untuk kita nak tarik pelabur dan pelancong.

 

“Dari segi infrastruktur jalan raya di seluruh daerah juga perlu dinaik taraf demi memastikan keselesaan dan keselamatan bangsa Johor kelak,” katanya pada program Gotong Royong Johor Bersih Perdana di Legaran Sungai Segget, semalam.

 

Beliau menambah, masalah banjir yang melanda negeri dan isu kesesakan hospital juga perlu diberi penekanan serta harus diatasi dengan baik menerusi kerjasama semua pihak.

 

“Isu banjir, setiap tahun kita berdepan dengan bencana ini. Jika kita mahu tunggu projek tebatan banjir ini dilaksanakan, memang memakan masa satu hingga dua tahun untuk selesai. Jadi, kita perlu laksanakan pelbagai kaedah yang boleh membantu antaranya menambah pam-pam air di pintu air selain membersihkan longkang dan parit sebelum musim tengkujuh.

 

“Kelima, tahap perkhidmatan di hospital juga perlu dipertingkatkan kerana jumlah pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan agak ramai dan kita perlukan bantuan Kerajaan Persekutuan supaya lebih banyak hospital dibina di Johor, termasuk apa langkah yang proaktif yang boleh diambil untuk pastikan rakyat tidak perlu menunggu lama,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor