KERAJAAN JOHOR PANTAU FENOMENA CUACA PANAS


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata 14 empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri Johor masih beroperasi serta dalam keadaan sihat | Foto MDJ, Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri Johor akan memantau keadaan cuaca semasa berikutan fenomena cuaca panas melanda negara ketika ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata Kerajaan Negeri berada di dalam keadaan bersedia susulan amaran cuaca panas tahap satu yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa lalu.

 

”Negeri Johor masih berada di dalam keadaan selamat. Tetapi, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu pada Selasa hanya melibatkan daerah Muar di negeri Johor.

 

”Kita juga akan pantau dari masa ke semasa sekiranya ada keperluan untuk melaksanakan kerja-kerja pembenihan awan bagi penghasilan hujan di negeri Johor memandangkan ia adalah di bawah kuasa Kementerian Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Ditanya mengenai situasi empangan di negeri ini, Raven Kumar menambah, kesemua empangan berada dalam keadaan baik dan masih beroperasi seperti biasa.

 

”14 empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri Johor masih beroperasi serta dalam keadaan sihat. Pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd juga telah merangka pelan mitigasi sekiranya berlaku situasi luar jangka termasuk cuaca panas yang lebih ekstrem.

 

”Apapun, saya ingin menasihati orang ramai supaya menggunakan air dengan berhemah. Kita tahu cuaca agak panas, gunakan ia (air) dan elektrik dengan jimat cermat,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor