JDT MUDAH ‘BENAM’ KUCHING CITY FC 4-0


Bergson Da Silva (kiri) meraikan jaringan bersama Arif Aiman Hanapi pada pertemuan dengan Kuching City FC yang berkesudahan JDT menang 4-0. | Foto Ihsan Johor Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super 2023 selepas mudah mengatasi Kuching City FC 4-0 dalam aksi di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak, sebentar tadi.

 

Fernando Forestieri membuka tirai jaringan buat JDT seawal minit ke-4 permainan menerusi gerakan liciknya yang melepasi benteng pertahanan Kuching City FC sebelum menolak bola masuk gawang tuan rumah.

 

Pasukan pelawat berjaya menambah jaringan pada minit ke-36 sekali lagi menerusi Forestieri yang melepaskan rembatan ke penjuru kiri gawang The Cats, selepas menerima hantaran sepakan percuma Leandro Velazquez.

 

Bersambung babak kedua, pasukan bimbingan Irfan Bakti tampak liat untuk ditembusi apabila tuan rumah mempamerkan corak permainan bertahan dengan lebih banyak ‘berkampung’ di kawasan sendiri.

 

Bagaimanapun, JDT berjaya menghukum Kuching City FC menerusi serangan balas dilakukan yang membawa kepada jaringan ketiga perlawanan pada minit ke-70 menerusi penyerang prolifiknya, Bergson da Silva.

 

Pemain gantian Harimau Selatan, Juan Muniz mencetak nama selaku penjaring hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti yang tidak berjaya diselamatkan penjaga gawang tuan rumah pada minit ke-73.

 

Kemenangan ke atas Kuching City FC menyaksikan JDT terus mendominasi Liga Super 2023 dan selesa di puncak liga dengan mengutip 33 mata hasil kemenangan yang diraih daripada 11 perlawanan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor