KERAJAAN JOHOR PASTIKAN KERJA PENGGABUNGAN KAUNTER DI BSI LANCAR


Mohamad Fazli mendengar penerangan yang diberikan ketika lawatannya ke CIQ BSI / Sumber Facebook Fazli Salleh

 

ISKANDAR PUTERI — Kerja penggabungan kaunter khusus kereta di Zon C bagi arah masuk ke Malaysia melibatkan 11 lorong di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dilaporkan siap selepas masalah teknikal berjaya diatasi.

Susulan perkembangan positif itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh meminta kerja penggabungan kaunter untuk tiga zon lagi disegerakan.

“Alhamdulillah, Zon C telah dibuka semula dengan proses yang lebih cepat apabila kaunter Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan PLUS digabung sekali dalam satu tempat setelah lebih dua bulan ditutup disebabkan kerja-kerja menaiktaraf,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan ke CIQ BSI bagi meninjau sendiri kemajuan kerja-kerja penggabungan kaunter khusus kereta di Zon C yang dilaporkan siap.

Mohamad Fazli berkata, kerja menambah ‘e-gate’ khusus pejalan kaki untuk warganegara juga mula dilaksanakan pada 16 Oktober hingga 10 November depan bagi memberi keselesaan dan mempercepatkan perjalanan ulang alik ke Singapura tanpa beratur panjang.

Ujarnya, penambahan tersebut melibatkan 14 kepada 32 unit untuk laluan masuk, selain 14 kepada 26 unit bagi laluan keluar.

“Seperti yang saya selalu nyatakan, kami cakna dengan masalah rakyat dan sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Semoga usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mampu memberikan keselesaan kepada semua,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor