KERAJAAN JOHOR KOMITED JAYAKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN


Menteri Besar Johor meluangkan masa bertemu dengan usahawan ECERDC / Sumber Facebook Onn Hafiz

 

MERSING — Kerajaan Johor melaungkan komitmen untuk terus membangunkan modal insan di negeri ini, bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan pakar bagi memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembangunan modal insan merupakan salah satu aspek yang amat penting bagi memajukan negara dan Negeri Johor.

Justeru, beliau memberitahu Kerajaan Johor mengambil peluang bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) bersama rakan-rakan strategik lain bagi tujuan tersebut.

“Ini termasuk usahasama ECERDC bersama SIRIM bagi meningkatkan lagi mutu produk usahawan tempatan dari segi pembungkusan, penjenamaan, pelabelan & pensijilan MeSTI

“(Kedua) Universiti Sultan Zainal Abidin untuk ‘on the job training’ bagi melahirkan usahawan baharu. (Ketiga) Yayasan PETRONAS dan Universiti Malaysia Pahang dalam memanfaatkan pendidikan bagi 200 pelajar kurang kemampuan menerusi tujuh sekolah di Mersing,” katanya menerusi posting dimuatnaik di Facebook rasminya.

Onn Hafiz berkata, kesemua program itu adalah antara inisiatif ECERDC untuk membangunkan lagi potensi penduduk Mersing agar dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara kelak.

“Kerajaan negeri juga komited untuk terus membangunkan modal insan dalam negeri bagi melahirkan ramai lagi pekerja berkemahiran dan pakar yang diperlukan oleh syarikat dan pelabur di Johor.

“Oleh itu, satu jawatankuasa juga telah ditubuhkan untuk menangani isu tenaga kerja dan ia dianggotai pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan dan pemain industri,” katanya.

Justeru, beliau berkeyakinan usaha kerajaan negeri itu akan dapat meningkatkan lagi kualiti tenaga kerja di Johor, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dan menjana pulangan ekonomi kepada negeri ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor