KERAJAAN JOHOR PASTIKAN TIADA ISU KECICIRAN MURID


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tiada seorang murid yang akan tercicir daripada mendapat akses pendidikan. Itu antara ikrar Kerajaan Johor dalam memastikan tiada pelajar yang keluar dari alam persekolahan sebelum tiba masanya.

 

Komitmen itu terserlah apabila seramai 342 pelajar sekolah menengah telah berjaya dibawa kembali ke sekolah menerusi program ‘outreach’ yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di seluruh daerah melibatkan kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan komuniti setempat.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga turut memperkenalkan modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) sebagai panduan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan langkah intervensi bagi menangani isu keciciran murid daripada mendapat akses kepada pendidikan.

 

Keseriusan Kerajaan Negeri dalam menangani isu sosial itu dapat dilihat apabila sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program membantu murid sekolah rendah Tahap 1 menguasai kemahiran membaca menerusi modul khas yang disediakan menerusi kerjasama dengan Educity Academy pada tahun lalu.

 

Selain itu, Kerajaan Johor dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) juga memperkenalkan inisiatif Kelas Bestari Bangsa Johor dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara interaktif dan pada masa sama turut mewujudkan interaksi dua hala antara guru dan murid menerusi penggunaan televisyen pintar.

 

Sehingga kini, sejumlah 426 sekolah di Negeri Johor telah dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu televisyen pintar yang digunakan secara aktif lebih tiga kali seminggu sekali gus menyokong aspirasi Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Negeri Johor berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor