KERAJAAN JOHOR PEDULI ISU KEKOSONGAN GURU SAKJ


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri memandang serius isu kekosongan guru dihadapi di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang semakin bertambah susulan berlakunya penghijrahan kumpulan warga pendidik tersebut ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, pengisian kekosongan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29 dan DG41 (Guru Agama Kerajaan Johor) sentiasa di dalam perhatian dan tindakan kerajaan negeri pada tahun ini.

 

Menurutnya, kekosongan guru agama setakat ini adalah seramai 595 waran bagi gred DG29 dan 74 waran bagi gred DG41.

 

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melalui Bahagian Pendidikan Islam telah membuat permohonan kepada SUK Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk membuat lantikan Pegawai Perkhidmatan bagi Gred DG29 dan DG41 (Guru Agama Kerajaan Johor) pada 11 Disember 2022.

 

“Pada 18 Januari 2023, Bahagian Pendidikan Islam, JAINJ telah bermesyuarat bersama BPSM yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia untuk membincangkan isu lantikan dan pengisian guru-guru SAKJ dan hasil mesyuarat tersebut, dicadangkan untuk membuat lantikan kontrak secara berperingkat bagi mengatasi masalah kekosongan guru,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawa soalan ADUN Pemanis, Anuar Manap dan ADUN Senggarang, Yusla Ismail secara bersekali mengenai pelantikan guru SAKJ, rasionalisasi jawatan guru KAFA kepada jawatan kontrak S29 dan S19 serta kekosongan jawatan guru SAKJ disebabkan penghijrahan ke KPM.

 

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, cadangan lantikan secara kontrak atas waran tetap adalah disebabkan kekangan kewangan.

 

“Bahagian Pendidikan Islam, JAINJ telah memohon lantikan secara kontrak sebanyak 450 waran bagi jawatan guru DG29 dan 57 waran bagi jawatan guru DG41. Tindakan seterusnya akan dibawa oleh pihak BPSM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ),” katanya.

 

Mengenai rasionalisasi jawatan guru KAFA untuk diserap ke jawatan kontrak S29 dan S19, Mohd Fared berkata, waran bagi guru KAFA Negeri Johor adalah sebanyak 2,000 waran di mana 1,985 waran telah diisi.

 

Ujarnya, kerajaan negeri amat memahami skop tugasan dipikul oleh guru KAFA amat besar dan menyamai guru SAKJ walaupun dibayar elaun pada kadar RM1,000 sebulan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan RM512 dari kerajaan negeri.

 

“Kerajaan negeri melalui JAINJ sedaya upaya membantu menambah baik lantikan guru KAFA dengan cara mencadangkan perjawatan tersebut dinaik taraf kepada gred S19 dan perkara tersebut telah dimajukan kepada pihak JAKIM berikutan guru KAFA merupakan di bawah kuasa lantikan JAKIM.

 

“Bagaimanapun, dalam sesi pembentangan bajet Persekutuan baru-baru ini yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaikkan elaun guru KAFA di seluruh Malaysia sebanyak RM100 yang juga memberi manfaat kepada 1,985 guru KAFA di negeri Johor,” katanya.

 

Selain itu, katanya, guru KAFA berkhidmat di negeri ini, turut menerima bantuan khas kewangan tahun 2022 minimum sebanyak RM1,000 yang telah selesai proses pembayarannya pada 17 Februari lalu.

 

“Kerajaan negeri amat memahami situasi yang dialami oleh guru KAFA yang berkhidmat di SAKJ. Justeru, tindakan dibuat di pihak kerajaan negeri atau persekutuan bagi maksud menaik taraf perjawatan akan sentiasa menjadi keutamaan bagi menjaga kebajikan guru-guru yang mendidik anak-anak Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor