‘TALENT IDENTIFICATION’ PERKASA ATLET OKU


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Johor komited memperkasa atlet Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, JBS Negeri Johor merupakan ‘focal point’ bagi pemerkasaan OKU dalam aspek sukan.

 

Menurutnya, ia meliputi sukan prestasi tinggi, sukan massa dan juga rekreasi.

 

“Jabatan ini juga bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program bagi memberi impak yang optimum terhadap golongan ini.

 

“Jabatan ini juga membuat ‘talent identification’ dalam kalangan atlet OKU bersama persatuan-persatuan sukan untuk diketengahkan ke persada sukan yang berprestij di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Penawar, Fauziah Misri mengenai perancangan kerajaan memperkasa atlet OKU dan program khusus untuk golongan berkenaan.

 

Mohd Hairi berkata, antara program sukan dwi-tahunan disertai golongan OKU adalah Sukan Para SUKMA dan sirkit-sirkit sukan di peringkat negeri serta kebangsaan.

 

Ujarnya, selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menurunkan waran pelaksanaan bagi proram pembangunan golongan OKU seperti Carnival Inspire OKU, Eksplorasi OKU, i-Talent dan i-Train sebagai pengisian, setiap tahun.

 

Menjawab soalan tambahan ADUN Penawar yang meminta perincian jenis sukan dan bilangan atlet OKU terlibat dalam inisiatif ‘talent identification’, beliau berkata, seramai 97 atlet yang terlibat.

 

“Untuk rekod, 34 orang atlet baharu OKU telah dilahirkan melalui program i-Talent dan i-Train pada tahun 2022 dan telah terpilih menyertai Kontinjen Para SUKMA Johor untuk bertanding di temasya Sukan Para SUKMA XX MSN Kuala Lumpur 2022 dan memperolehi pencapaian yang membanggakan dalam acara sukan Para Olahraga, Para Catur, Powerlifting dan Para Ping Pong,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor